Pulau Pinang berada di bawah pemerintahan Kedah. Pada awalnya ia penuh hutan belantara dan menjadi tempat lanun laut bersembunyi.
Pada June 1592, kapal Inggeris yang dikemudikan oleh Captain Sir James Lancaster berlabuh dan bersembunyi di perairan Pulau Pinang, di antara 3 buah pulau kecil.
Makanan yang mereka ada amat sedikit - hanya terdapat siput pada batu dan ikan kecil yang dikail. Mereka mendarat dan tinggal di pulau (Pulau Pinang?) itu selama 2 bulan, hingga Ogos 1592. Seramai 26 orang anak kapal pulang (mati atau balik England?).
Pada 1750, Pulau Pinang disewakan oleh Kerajaan Kedah kepada Oost Indische Compagnie (Syarikat Hindia Timur/East India Company) kepunyaan Belanda pada kadar $6,000 setahun.
Pada 1771, tibalah kapal Captain Francis Light melabuh di Pulau Pinang. Pada pendapatnya, tempatnya sesuai untuk kapal berlabuh jika dibaiki. Lokasi pelabuhan ini berguna untuk tujuan perdagangan. Beliau memaklumkan hal demikian kepada tuan Inggeris beliau di Ceylon, Warren Hastings.
Pada 1786, Governor General di Ceylon dimaklumkan bahawa hal ini akan mewujudkan persaingan kuasa di antara Ceylon dan Pulau Pinang. Maka Pulau Pinang dirampas oleh Inggeris.
Pada 11 Ogos 1786, Captain Francis Light mendarat di Pulau Pinang bersama 100 orang yang baru masuk menjadi askar kapal (soldadu kapal), 30 askar dari Calcutta, 15 orang Inggeris askar meriam (artillery), dan 5 orang pegawainya (opsirnya).
Mereka berkampung di tanah pasir yang rendah serta bersemak hutan (sekarang Esplanade).
Bilangan penduduk Melayu di Pulau Pinang ketika itu hanya 52 orang sahaja. Merekalah yang menolong Captain Francis Light menebas hutan untuk menyediakan tempat perkampungan.
Sebelum Inggeris membina benteng (Fort Cornwallis?), pelbagai bangsa datang ke Pulau Pinang. Ada yang ingin mencari kehidupan, ada yang datang untuk melihat, ingin tahu, dan ada yang datang untuk menyamun.
Oleh demikian, Captain Francis Light tidak percaya kepada mereka yang datang berkunjung. Beliau tidak membenarkan mereka yang bersenjata (seperti keris) mendarat. Mereka yang datang untuk menebas hutan hanya dibenarkan tinggal di atas perahu mereka sahaja, mereka tidak dibenarkan tinggal di darat.
Bagi mengembirakan penebas hutan demikian, Captain Francis Light menembak seguni wang ke arah hutan. Dengan cara begini, penebas hutan berlumba-lumba menebas hutan sambil mencari wang berkenaan. Dengan itu, banyak hutan dibersihkan dalam tempoh yang singkat.
Selepas hutan dibersihkan, Captain Francis Light mendirikan pagar bagi membenteng dan mempertahankan kawasan Inggeris. Pagar ini digantikan dengan benteng batu. Maka terdirilah Fort Cornwallis di kawasan pendaratan Inggeris.
Pada 12 Ogos 1786, Captain Francis Light menamakan Pulau Pinang sebagai Prince of Wales Island, sempena hari kelahiran putera Inggeris, Prince of Wales.
Pada 1795, jumlah penduduk di Pulau Pinang meningkat kepada 20,000 orang, dengan 3,000 orang Cina (Tjina). Kebanyakan orang India datang daripada Ceylon.
Perniagaan bertambah maju kerana tiada cukai dikenakan bagi kemasukan barang. Namun pada 1801, cukai mula dikenakan bagi barang yang dibawa masuk, bagi menambahkan pendapatan Inggeris. Kesan cukai barang yang dikenakan ini mengurangkan perniagaan di Pulau Pinang.
Setelah Pulau Pinang dimajukan oleh Inggeris, Kedah pula ingin mendapatkannya kembali.
Pada 1791, pasukan Kedah membawa 8,000 orang untuk menggempur Inggeris di Pulau Pinang. Namum pasukan Kedah terpaksa berundur setelah dilawan oleh 400 askar Inggeris yang dikepalai oleh Captain Francis Light.
Setelah pasukan Kedah kalah, Inggeris terus menawan Pulau Pinang dan menjadikan Pulau Pinang hak mutlak Inggeris secara tidak sah (tanpa bersurat). Hak kerajaan Kedah atau mana-mana kerajaan Melayu ke atas Pulau Pinang terus dilucutkan dan dinafikan. Inggeris tidak perlukan mana-mana kerajaan Melayu dan tidak menghormati mana-mana kerajaan Melayu.
Nasib tidak menyebelahi Captain Francis Light yang tidak lama bertahan di Pulau Pinang yang dikuasainya secara haram. Ia meninggal dunia pada 1794 dalam usia 50 tahun akibat jangkitan malaria.
Pulau Pinang dimasukkan dalam jajahan Inggeris sebagai sebahagian Straits Settlements. Inggeris berkuasa sepenuhnya ke atas Straits Settlements.
Sumber:
Ismail bin Hadji 'Abdoe'llah 'Oemar Effendi. 1924. Melawat ke Melaka 1920 dan 1921. Bab XIII Riwajat Poelau Pinang. ms 64-66. Dikeloearkan oleh Balai Poestaka (Drukkerij Volkslectuur - Weltevreden). Serie No. 652. Harganja: f.0.60.
No comments:
Post a Comment